Showing posts with label Bernama. Show all posts
Showing posts with label Bernama. Show all posts

Friday, January 9, 2009

Jangan politikkan isu kehadiran polis di Kuala Terengganu

ARKIB : 09/01/2009

Jangan politikkan isu kehadiran polis di Kuala Terengganu

09/01/2009 4:12pm

KUALA TERENGGANU 9 Jan. — Ketua Polis Terengganu Datuk Mohd. Shukri Dahlan meminta supaya kehadiran polis sepanjang proses pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu tidak dipolitikkan dengan mendakwa ia menakutkan pengundi di kawasan itu.

Beliau berkata, dakwaan itu tidak berasas sama sekali kerana tujuan kehadiran polis adalah untuk menjaga keselamatan selain daripada jumlah anggota polis yang terlibat dalam pilihan raya kerusi parlimen itu lebih rendah berbanding pilihan raya kecil di Ijok dan Permatang Pauh.

“Itu bukan satu isu politik kerana kita mempunyai tanggungjawab kita sendiri. Kita telah matang dan tahu apa yang dilakukan.

“Tidak perlu dipersoalkan apakah pelaksanaan tugas yang dijalankan polis.Kami diharapkan untuk menjaga keselamatan dan kami tahu apa yang kami buat,” katanya kepada pemberita selepas melawat seorang pegawai polis yang dimasukkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini akibat dirempuh oleh “Mat Rempit”, hari ini.

Dilaporkan, 6,000 anggota polis ditugaskan sepanjang proses pilihan raya kecil kerusi Parlimen Kuala Terengganu. - Bernama

Thursday, January 1, 2009

Calon BN jawab tohmahan

ARKIB : 01/01/2009

Calon BN jawab tohmahan

KUALA TERENGGANU 31 Dis. – Belum pun kempen pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu bermula, calon Barisan Nasional (BN), Senator Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh telah ‘diserang’ menerusi laman web dan juga sistem khidmat pesanan ringkas (SMS).

Terbaru, gambar Timbalan Menteri Dalam Negeri itu yang sedang berkaraoke bersama seorang wanita muda tersebar dalam laman web, sebaik sahaja beliau dinamakan sebagai calon BN pada pilihan raya kecil 17 Januari depan.

Menyifatkan ada pihak yang sudah mula bermain kotor, Wan Ahmad Farid berkata, pihak tidak bertanggungjawab yang cuba menyerang peribadi beliau perlu berusaha lebih keras.

Ini kerana, katanya, wanita yang sedang menyanyi bersama beliau itu adalah anak saudaranya sendiri dalam majlis perjumpaan keluarga di rumah seorang saudara yang turut dihadiri anggota keluarganya termasuk isteri dan anak-anak beliau, selain ibu bapa anak saudaranya itu.

“Kuala Terengganu sekarang ini basah dengan hujan, tetapi mereka ini nampaknya kekeringan isu. Mungkin ada pihak yang nak menggambarkan saya seorang yang terlibat dalam aktiviti-aktiviti di lounge, pusat karaoke dan sebagainya,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Katanya, bapa kepada anak saudaranya itu turut berada di tempat berkenaan ketika gambar itu diambil.

“Abang saya ada, ayah dia (anak saudara) pun ada di sebelah kanan, tetapi dalam laman web berkenaan, hanya ada gambar saya dan gambar anak saudara saya itu setengah, seolah-olah memberi gambaran yang tersendiri.”

“Ini adalah tindakan berniat jahat, bila gambar itu disiarkan di Internet, banyak pihak yang membuat andaian dengan pelbagai rumusan tentang karakter saya,” katanya.

Selain itu, SMS daripada nombor yang tidak dikenali berbentuk serangan peribadi juga mula tersebar di kalangan pengundi, namun apabila nombor berkenaan dihubungi, telefon berkenaan telah dimatikan.

“Walau apa pun yang dibuat, saya yakin pengundi Kuala Terengganu matang dalam membuat keputusan dan tidak terpengaruh dengan isu yang ditimbulkan. Saya sendiri, tidak akan sekali-kali serang peribadi lawan, walau siapa pun mereka,” katanya.

Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu diadakan berikutan kematian penyandangnya yang juga Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Razali Ismail pada 28 November lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 6 Januari depan sebagai tarikh penamaan calon dengan 17 Januari ditetapkan sebagai tarikh pengundian.

Setakat ini, hanya BN mengumumkan calon pada pilihan raya kecil itu, manakala Pas yang telah mengesahkan akan bertanding, akan mengumumkan calon mereka, malam esok.

Selain dua calon itu, pilihan raya kecil itu juga dijangka disertai beberapa calon bebas.

– Bernama