Showing posts with label polis pilihanraya kuala terengganu. Show all posts
Showing posts with label polis pilihanraya kuala terengganu. Show all posts

Friday, January 9, 2009

Jangan politikkan isu kehadiran polis di Kuala Terengganu

ARKIB : 09/01/2009

Jangan politikkan isu kehadiran polis di Kuala Terengganu

09/01/2009 4:12pm

KUALA TERENGGANU 9 Jan. — Ketua Polis Terengganu Datuk Mohd. Shukri Dahlan meminta supaya kehadiran polis sepanjang proses pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu tidak dipolitikkan dengan mendakwa ia menakutkan pengundi di kawasan itu.

Beliau berkata, dakwaan itu tidak berasas sama sekali kerana tujuan kehadiran polis adalah untuk menjaga keselamatan selain daripada jumlah anggota polis yang terlibat dalam pilihan raya kerusi parlimen itu lebih rendah berbanding pilihan raya kecil di Ijok dan Permatang Pauh.

“Itu bukan satu isu politik kerana kita mempunyai tanggungjawab kita sendiri. Kita telah matang dan tahu apa yang dilakukan.

“Tidak perlu dipersoalkan apakah pelaksanaan tugas yang dijalankan polis.Kami diharapkan untuk menjaga keselamatan dan kami tahu apa yang kami buat,” katanya kepada pemberita selepas melawat seorang pegawai polis yang dimasukkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini akibat dirempuh oleh “Mat Rempit”, hari ini.

Dilaporkan, 6,000 anggota polis ditugaskan sepanjang proses pilihan raya kecil kerusi Parlimen Kuala Terengganu. - Bernama

Saturday, January 3, 2009

Jangan beranggapan buruk kehadiran polis

ARKIB : 03/01/2009

Jangan beranggapan buruk kehadiran polis

KUALA TERENGGANU 2 Jan. - Polis meminta orang ramai membuang tanggapan buruk terhadap kehadiran 6,000 anggotanya di daerah ini bagi mengawasi perjalanan pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu 17 Januari ini.

Timbalan Ketua Polis Terengganu, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, kehadiran mereka bagi memastikan pilihan raya kecil itu berjalan lancar dan mengelak perkara buruk daripada berlaku.

Katanya, pilihan raya kecil kali ini sudah tentu menjadi tumpuan seluruh negara dan menjadi kemestian bagi polis dalam memastikan keselamatan orang ramai terjamin.

"Janganlah menggangap perkara bukan-bukan di sebalik kehadiran ramai pegawai polis ini, anggaplah mereka sebagai rakan kerana kita akan memberikan keselamatan terbaik sepanjang kempen nanti

"Kehadiran polis juga adalah untuk membendung jenayah dan kita akan memberikan yang terbaik kepada orang Terengganu," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas dakwaan pihak tertentu di bandar raya ini yang bimbang dengan kehadiran ramai anggota polis dan ia dilihat sebagai 'menakutkan' orang ramai.

Jalaluddin dalam kenyataan akhbar hari ini berkata, sebanyak 6,000 pegawai dan anggota polis akan bertugas menjaga keselamatan dan kelancaran perjalanan pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu terutama pada hari penamaan calon sehingga hari pengundian.

Mereka terdiri daripada anggota Unit Udara, Pasukan Gerakan Am, Pasukan Gerakan Khas, Unit Tindakan Khas (UTK), Unit Tindakan Ringan (LSF), Unit Pencegahan Rusuhan (PORU) dan Unit Simpanan Persekutuan (FRU).

Mengulas lanjut, Jalaluddin berkata, polis berazam akan memastikan proses kempen dan pengundian pilihan raya kecil kali ini bersih dan berjalan tanpa sebarang gangguan.

"Kesemua mereka akan ditugaskan mengawasi proses penamaan calon, tempoh berkempen dan pembuangan undi serta penjumlahan undi bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini," katanya.