Wednesday, June 24, 2009

Gagal PRU13 jika tiada langkah selesai krisis:

KUALA TERENGGANU – UMNO Terengganu tidak akan dapat mempertahan kerusi Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-13 sekiranya tiada tindakan positif untuk menyelesaikan masalah berkait parti itu.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menyifatkan negeri ini sebagai kubu kuat BN perlu dipertahankan dengan gerakan secara berpadu daripada ahli.

“Kalau lebih cepat, kita dapat selesaikan apa jua masalah sama ada benar atau persepsi, sama ada ianya fakta atau sengaja digembar-gemburkan. Ia tidak akan dapat membantu kita mempertahankan Terengganu sebagai kubu kita tanpa mengambil tindakan yang lebih positif.

“(Iaitu) tindakan yang boleh dirasai ahli dan rakyat, tindakan-tindakan yang digerakkan kita bersama sebagai keluarga besar UMNO Terengganu,” katanya, kelmarin.

Beliau berkata, UMNO perlu bangkit menghadapi realiti dengan membawa semangat baru bagi membangkitkan semula kekuatan dan kelebihan yang ada.

Sehubungan itu, UMNO Terengganu perlu bergerak sebagai satu pasukan di samping memperjuangkan dan membela perkara sewajarnya sebagaimana yang dihasratkan ahli.

Beliau sendiri akan turun padang untuk berjumpa ahi di peringkat akar umbi melalui program sedia ada di samping menyelaras kepimpinan sayap parti supaya rakyat dapat merasai semangat baru.

Mengulas lanjut, hala tuju dan program parti yang akan dipertanggungjawab telah pun dibincangkan bukan sahaja kepada sayap-sayap, malah peringkat bahagian untuk memastikan barisan dirapatkan.

“Pada masa yang sama ketua bahagian yang telah diberi mandat untuk memikirkan bagaimana tugas ini dapat diagihkan sesama kita bersama dengan kepimpinan lain di peringkat ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) atau Parlimen dan saya rasa usaha ini dapat dibuat dengan bersungguh-sungguh,” katanya. - Sinar

Ahli politik ibarat ‘tong sampah’: Menteri Besar

KUALA TERENGGANU – Menteri Besar, Datuk Ahmad Said berkata, ahli politik boleh diumpamakan sebagai ‘tong sampah’ kerana segala keburukan dan perasaan tidak puas hati rakyat akan terus dilemparkan kepada golongan berkenaan.

Menurut Ahmad, kegagalan seseorang individu melaksanakan tanggungjawabnya dengan baik akan menimbulkan kemarahan rakyat dan kesannya, rakyat melunaskan rasa dendam mereka apabila menjelangnya pilihan raya kecil atau umum.

Beliau berkata, walau apa juga perlakuan atau pendekatan yang diambil terhadap sesuatu perkara, hati dan perasaan rakyat harus dijaga dengan sebaik mungkin tanpa memikirkan diri sendiri kerana ia penting dalam mengekalkan sokongan.

“Walau apa juga tindakan kita, hati dan perasaan rakyat penting serta harus dijaga sebab mereka berada di kedudukan depan seiring dengan matlamat merakyatkan pembangunan.

“Orang politik ini macam tong sampah, kegagalan pegawai kerajaan akan menimbulkan kemarahan rakyat dan mereka akan balas dendam di peti undi, mereka tidak menyatakan kemarahan itu tapi tunjuk pada pilihan raya,” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu berkata demikian ketika berucap pada Perjumpaan Pegawai Agensi Pembangunan Masyarakat Terengganu bersama Menteri Besar di Wisma Darul Iman, semalam.

Ahmad menyifatkan segala kelemahan yang ditunjukkan oleh orang bawahan terutama dalam menguruskan hal-hal berkaitan masyarakat akan terpalit kepada kerajaan.

Sehubungan itu beliau meminta semua Pegawai Agensi Pembangunan Masyarakat negeri ini menunaikan amanah dan tanggungjawab masing-masing dengan sebaik mungkin agar mampu memberi khidmat sempurna kepada rakyat.

“Kita memang macam tong sampah, setiap yang tidak disukai rakyat akan dilemparkan kepada ahli politik dan oleh itu kita jangan bersikap sombong dan angkuh, harus sedar diri dalam berkhidmat kepada rakyat.

“Tidak ada gunanya kita laksanakan pelbagai projek pembangunan tapi rakyat tidak dapat sebarang faedah kerana akhirnya kita (Barisan Nasional (BN) akan ditolak,” katanya.Sinar

Tuesday, June 23, 2009

Gugur Rosli, Roslan tiada kaitan kes SPRM

KUALA LUMPUR 22 Jun - Badan Perhubungan UMNO Terengganu menolak tanggapan pengguguran setiausaha dan bendaharinya semalam mempunyai kaitan dengan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Bagaimanapun, pengerusinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang juga Naib Presiden UMNO tidak menafikan wujud keadaan yang perlu dibendung.

"Tidak ada (kaitan dengan siasatan SPRM). Ini bukan isu personaliti atau pemimpin tertentu. Yang penting ialah parti bukan individu atau puak.

"Kita perlu masa untuk mengikuti perkembangan dan tiada orang boleh nafi wujud keadaan yang perlu dibendung," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Hishammuddin berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dengan beberapa keluarga mangsa ah long di Hotel Plaza, Jalan Raja Laut di sini hari ini.

Semalam, Ketua UMNO Bahagian Dungun, Datuk Rosli Mat Hassan digugurkan sebagai Setiausaha Badan Perhubungan UMNO negeri dan digantikan dengan Ketua UMNO Bahagian Hulu Terengganu, Datuk Tengku Putera Tengku Awang.

Turut digugurkan ialah bendahari badan perhubungan itu, Senator Datuk Roslan Awang Chik yang digantikan oleh Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kuala Nerus, Datuk Abdul Rahim Mohd. Said.

Hishammuddin berkata, beliau sudah berjumpa dengan pihak-pihak yang berkenaan berhubung perkembangan terbaru tersebut dan perkara itu diterima dengan baik.

Beliau menambah, pertemuan akan diadakan dengan sayap-sayap Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO negeri diikuti setiap UMNO Bahagian di negeri itu. - Utusan

Usah Pertikai Pelantikan Tiga Jawatan Utama Umno T'ganu: Ahmad

HULU TERENGGANU, 22 Jun (Bernama) -- Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Said berharap pihak-pihak tertentu tidak mempertikaikan pelantikan baru bagi tiga jawatan utama Badan Perhubungan Umno negeri, yang sebelum ini dilanda pelbagai konflik dalaman.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Umno Terengganu, berkata pelantikan baru itu dikemukakan sendiri Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang juga Pengerusi Badan Perhubungan negeri.

"Saya bersyukur kerana semuanya berjalan dengan selamat dan sempurna. Pelantikan ini diharap dapat memberi kepuasan kepada semua pihak.

"Kalau saya tidak pertikai dengan pelantikan ini dan menerimanya dengan lapang dada, kenapa orang lain perlu pertikai," katanya kepada pemberita selepas mengagihkan buku elektronik atau e-Book kepada sekolah di daerah Hulu Terengganu di Sekolah Kebangsaan Ajil, di sini Isnin.

Ahad lalu, Hishammuddin mengumumkan pelantikan Ketua Umno Bahagian Hulu Terengganu, Datuk Tengku Putera Tengku Awang sebagai Setiausaha Perhubungan Umno negeri yang baru, menggantikan Ketua Umno Bahagian Dungun, Datuk Rosli Mat Hassan yang digugurkan.

Menteri Belia dan Sukan yang juga Timbalan Ketua Umno Bahagian Kemaman Datuk Ahmad Shabery Cheek pula dilantik sebagai Ketua Penerangan Umno negeri, menggantikan Datuk Mohd Zuber Embong, manakala timbalan ketua Umno Bahagian Kuala Nerus, Datuk Abdul Rahin Mohd Said pula dilantik sebagai Bendahari Umno negeri menggantikan Datuk Roslan Awang Chik.

Ahmad berkata sebelum pelantikan baru itu dibuat, mereka terlebih dahulu telah berbincang termasuk mendapatkan pandangan daripada pelbagai pihak.

"Kita berjiwa besar dan ingin melihat Barisan Nasional (BN) meneruskan penguasaan di Terengganu dan menang pada pilihan raya umum ke-13 akan datang. Sebenarnya parti lebih penting, rakyat perlu diperjuangkan," katanya.

Pada majlis itu, Ahmad menyampaikan 439 e-Book kepada pelajar Tahun Lima 10 sekolah di daerah Hulu Terengganu. Setakat ini, sebanyak 2,300 daripada 23,000 e-Book telah diagihkan kepada murid Tahun Lima di seluruh Terengganu.

-- BERNAMA

Epic Labur RM100 Juta Bangun Fasa 3 KSB

KUALA TERENGGANU, 22 Jun (Bernama) -- Eastern Pacific Industrial Corporation Bhd (EPIC), anak syarikat kerajaan negeri Terengganu, melabur RM100 juta bagi membangunkan Kemaman Supply Base (KSB) Fasa III, Kemaman yang melibatkan kawasan seluas 30 hektar.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Ramli Shahul Hameed berkata pada masa kini urusan pembelian dan pembayaran tanah hampir diselesaikan dan akan dibuka untuk proses tender tidak lama lagi.

"Kita menjangkakan KSB Fasa III ini akan dibuka dalam tempoh setahun dan apabila dibuka kelak, ia akan menjadikan jumlah keseluruhan pangkalan perbekalan yang menyokong industri petroleum itu hampir 200 hektar, dengan tambahan 80 hingga 100 syarikat baru akan beroperasi di situ," katanya ketika ditemui Bernama di sini Isnin.

Beliau berkata pada masa ini terdapat 240 syarikat sokongan gas dan minyak beroperasi di situ, termasuk tujuh syarikat minyak utama iaitu Petronas, Esso, Cari Gali Hess, Talisman, Petrofac, Newfield dan Murphy.

Menurutnya pembukaan fasa baru itu juga akan memberi peluang pekerjaan kepada lebih 3,000 orang. Pada masa ini dianggarkan terdapat 8,000 tenaga kerja di situ dengan 80 peratus daripadanya merupakan anak Terengganu.

Berbanding Fasa I dan II yang dibuka sebelum ini, Fasa III yang bakal dibuka pertengahan tahun depan mempunyai keistimewaannya tersendiri, dengan setiap gudang atau bangunan dibina mengikut spesifikasi atau kehendak bakal penyewa.

"Sehubungan itu kita minta syarikat yang berminat memaklumkan bentuk pembinaan gudang yang mereka kehendaki sesuai dengan keperluan perniagaan mereka sebelum kami membinanya," katanya.

Untuk tempoh lima tahun akan datang, KSB yang ada sekarang bakal diperluaskan sehingga 400 hektar yang turut melibatkan pembesaran Pelabuhan Kemaman dan limbungan terbuka yang membabitkan peruntukan sehingga RM500 juta, katanya.

Ramli berkata pembesaran kawasan Pelabuhan Kemaman itu adalah antara strategi syarikat untuk menarik lebih banyak syarikat perkapalan singgah di situ.

"Ramai pihak yang masih tidak menyedari bahawa Pelabuhan Kemaman merupakan lokasi yang strategik kerana selain terlindung daripada tiupan angin monsun, ia juga mempunyai kedalaman 10 hingga 16 meter yang sesuai untuk kapal besar serta lengkap dengan pelbagai kemudahan.

"Usaha kami sekarang ialah untuk menarik lebih banyak kapal gerudi masuk ke pelabuhan itu dan usaha awal telah menampakkan kesan apabila sebuah kapal gerudi dari Australia memasuki pelabuhan dua minggu lepas untuk kerja membaik pulih selama lapan bulan. Ia dijangka menyumbang perolehan sebanyak RM100 juta," katanya.

Pada hari Selasa, Epic dijadualkan mengadakan mesyuarat agung tahunan diikuti sidang media bagi mengumumkan keputusan kewangannya bagi tahun lepas.

-- BERNAMA

Tuesday, June 16, 2009

Pasar Raya Rakyat Dirancang Di Setiap Daerah Di Terengganu

HULU TERENGGANU, 15 Jun (Bernama) -- Kerajaan Terengganu akan mewujudkan Pasar Raya Rakyat di setiap daerah bagi memasarkan produk keluaran tempatan, mulai tahun depan.

Menteri Besar Datuk Ahmad Said berkata sebagai permulaan pasar raya yang menelan kos antara RM3 dan RM4 juta tiap satu itu akan dibina di Pekan Kuala Berang di sini, diuruskan oleh Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU).

"Buat permulaan di Kuala Berang dahulu, kemudian diikuti oleh daerah-daerah lain di seluruh negeri," katanya selepas merasmikan mesyuarat agung Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Ajil di sini Isnin.

Beliau berkata pasar raya itu diwujudkan untuk memberi peluang kepada penduduk setempat memasarkan barangan runcit dengan harga yang lebih murah dan berpatutan kepada pengguna tempatan.

Dalam perkembangan lain, Ahmad berkata sehingga Mac lepas, Terengganu menerima wang royalti minyak berjumlah RM650 juta daripada jumlah keseluruhan RM1.394 bilion, dan menurutnya baki akan dibayar kepada kerajaan Terengganu bulan depan.

"Wang itu akan dibelanjakan secara berhemah dengan tumpuan diberikan kepada usaha menyediakan perumahan untuk rakyat. Sebanyak 4,500 unit rumah berharga RM65,000 seunit akan dibina dalam masa dua tahun akan datang," katanya.

-- BERNAMA

Terengganu dapat royalti RM744j

Oleh WAN RAMLI WAN MUHAMAD
utusanterengganu@utusan.com.my

HULU TERENGGANU 15 Jun - Kerajaan Terengganu akan menerima wang royalti minyak sebanyak RM744 juta daripada Petronas yang dijangka Julai ini.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said berkata, pada Mac lalu sebanyak RM650 juta telah diterima kerajaan negeri.

Bagaimanapun katanya bayaran keseluruhan yang akan diterima tahun ini belum dapat dipastikan.

"Bayaran bagi bulan September ini saya tak tahu lagi berapa," katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Lembaga Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) di Bukit Diman, di sini, hari ini.

Sebelum ini Ahmad dalam kenyataan akhbar pernah berkata, kerajaan negeri percaya bayaran yang akan diterima hasil wang royalti minyak sekurang-kurangnya mencecah RM1.5 bilion

Menurutnya, kerajaan negeri menunggu jumlah pembayaran wang royalti minyak dari Petronas untuk mengetahui sama ada wang itu cukup untuk memenuhi bajet negeri 2009 yang berjumlah RM1.799 bilion.

Cabaran yang terpaksa dihadapi Terengganu selepas wang royalti dikembalikan adalah dari segi perancangan pembangunan dan kerajaan negeri tidak lagi boleh berharap kepada dana khas kerajaan Persekutuan.

Sebaliknya jelas beliau, kerajaan negeri perlu melaksanakan segala perancangan pembangunan berasaskan bajet tahunan.

Mengenai tanggapan bahawa pentadbiran beliau dilihat agak perlahan dari segi pelaksanaan pembangunan fizikal negeri jelasnya, ia kerana semua perancangan perlu berdasarkan bajet.