Tuesday, June 16, 2009

Pasar Raya Rakyat Dirancang Di Setiap Daerah Di Terengganu

HULU TERENGGANU, 15 Jun (Bernama) -- Kerajaan Terengganu akan mewujudkan Pasar Raya Rakyat di setiap daerah bagi memasarkan produk keluaran tempatan, mulai tahun depan.

Menteri Besar Datuk Ahmad Said berkata sebagai permulaan pasar raya yang menelan kos antara RM3 dan RM4 juta tiap satu itu akan dibina di Pekan Kuala Berang di sini, diuruskan oleh Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU).

"Buat permulaan di Kuala Berang dahulu, kemudian diikuti oleh daerah-daerah lain di seluruh negeri," katanya selepas merasmikan mesyuarat agung Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Ajil di sini Isnin.

Beliau berkata pasar raya itu diwujudkan untuk memberi peluang kepada penduduk setempat memasarkan barangan runcit dengan harga yang lebih murah dan berpatutan kepada pengguna tempatan.

Dalam perkembangan lain, Ahmad berkata sehingga Mac lepas, Terengganu menerima wang royalti minyak berjumlah RM650 juta daripada jumlah keseluruhan RM1.394 bilion, dan menurutnya baki akan dibayar kepada kerajaan Terengganu bulan depan.

"Wang itu akan dibelanjakan secara berhemah dengan tumpuan diberikan kepada usaha menyediakan perumahan untuk rakyat. Sebanyak 4,500 unit rumah berharga RM65,000 seunit akan dibina dalam masa dua tahun akan datang," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment