KUALA TERENGGANU – UMNO Terengganu tidak akan dapat mempertahan kerusi Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-13 sekiranya tiada tindakan positif untuk menyelesaikan masalah berkait parti itu.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menyifatkan negeri ini sebagai kubu kuat BN perlu dipertahankan dengan gerakan secara berpadu daripada ahli.
“Kalau lebih cepat, kita dapat selesaikan apa jua masalah sama ada benar atau persepsi, sama ada ianya fakta atau sengaja digembar-gemburkan. Ia tidak akan dapat membantu kita mempertahankan Terengganu sebagai kubu kita tanpa mengambil tindakan yang lebih positif.
“(Iaitu) tindakan yang boleh dirasai ahli dan rakyat, tindakan-tindakan yang digerakkan kita bersama sebagai keluarga besar UMNO Terengganu,” katanya, kelmarin.
Beliau berkata, UMNO perlu bangkit menghadapi realiti dengan membawa semangat baru bagi membangkitkan semula kekuatan dan kelebihan yang ada.
Sehubungan itu, UMNO Terengganu perlu bergerak sebagai satu pasukan di samping memperjuangkan dan membela perkara sewajarnya sebagaimana yang dihasratkan ahli.
Beliau sendiri akan turun padang untuk berjumpa ahi di peringkat akar umbi melalui program sedia ada di samping menyelaras kepimpinan sayap parti supaya rakyat dapat merasai semangat baru.
Mengulas lanjut, hala tuju dan program parti yang akan dipertanggungjawab telah pun dibincangkan bukan sahaja kepada sayap-sayap, malah peringkat bahagian untuk memastikan barisan dirapatkan.
“Pada masa yang sama ketua bahagian yang telah diberi mandat untuk memikirkan bagaimana tugas ini dapat diagihkan sesama kita bersama dengan kepimpinan lain di peringkat ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) atau Parlimen dan saya rasa usaha ini dapat dibuat dengan bersungguh-sungguh,” katanya. - Sinar
Wednesday, June 24, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment