Saturday, June 27, 2009

Terengganu Tidak Lagi Beri Tanah Kepada Agensi Kerajaan Pusat: MB

KEMAMAN, 27 Jun (Bernama) -- Kerajaan negeri Terengganu tidak akan lagi memberi tanah kepada agensi-agensi kerajaan pusat untuk dijadikan estet atau ladang sawit kerana negeri itu kini kekurangan tanah kosong.

Menteri Besar Datuk Ahmad Said berkata kerajaan negeri berhasrat untuk membangunkan sendiri tanah kosong yang ada bagi dijadikan ladang rakyat untuk membantu 6,000 golongan miskin tegar di negeri ini.

"Sehingga kini, kita telah mula menyediakan tapak semaian tanaman kelapa sawit di atas tanah seluas 3,200 hektar di Dungun manakala 2,400 hektar lagi kawasan di Setiu dalam proses mengeluarkan kayu-kayu balak untuk dibersihkan.

"Satu lagi kawasan seluas 2,400 hektar di Dungun sedang kita kenal pasti untuk dimajukan dengan tanaman sawit bagi membantu golongan miskin tegar ini," katanya selepas majlis pecah tanah Projek Felcra Berhad di Kampung Lubuk Dalam 4, Kijal dekat sini Sabtu.

Ahmad berkata pada tahun ini, kerajaan negeri menyediakan peruntukan kira-kira RM100 juta untuk membuka 20,000 hektar ladang rakyat bagi membantu golongan miskin tegar, untuk memperoleh pendapatan sekurang-kurangnya RM750 sebuah keluarga.

Katanya kerajaan juga sanggup membeli ladang-ladang sawit di negeri lain yang ingin dijual bagi mempercepatkan agihan kepada golongan miskin berkenaan.

Projek ladang sawit Felcra di Kampung Lubuk Dalam 4 seluas kira-kira 648.286 hektar itu merupakan projek ke-217 Felcra di Terengganu untuk faedah kepada 300 peserta miskin terutama ibu tunggal.

Projek itu tidak lagi memberi lot-lot tanah kepada peserta, tetapi diberi dalam bentuk saham iaitu pendapatan yang diperoleh, ditolak dengan kos pengurusan dan sebagainya yang akan diagihkan sama rata kepada peserta yang terlibat.

-- BERNAMA

Idris Jusoh Bersedia Jika Dipanggil Oleh SPRM

KUALA TERENGGANU, 26 Jun (Bernama) -- Bekas menteri besar Terengganu Datuk Seri Idris Jusoh sedia memberi kerjasama jika dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung runtuhan bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak dekat sini, awal bulan ini.

Idris yang baru pulang daripada mengikuti kursus jangka pendek di Amerika Syarikat malam tadi, berkata beliau akan memberi segala maklumat yang ada jika dikehendaki berbuat demikian.

"Kalau SPRM meminta saya membantu siasatan, saya bersedia," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan majlis penutup Seminar Pendidikan Kolej Profesional Mara dan Kolej Mara di sini Jumaat.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kejadian bumbung stadium berkenaan yang menempatkan pintu A, B dan BI ke tempat duduk awam serta tempat duduk tetamu diraja serta orang kenamaan (VIP) yang runtuh awal bulan ini.

Idris yang turut meminta SPRM menyiasat secara menyeluruh termasuk daripada aspek perancangan pembinaan bumbung sehingga proses selepas strukturnya itu siap, berkata sehingga kini beliau belum dipanggil SPRM.

"Siasatan ini perlu dilakukan kerana kita perlu tahu kenapa struktur itu runtuh," katanya.

Mengenai pelantikan tiga pemimpin baru dalam Badan Perhubungan Umno Terengganu, Idris berkata beliau menghormati keputusan yang dibuat Pengerusi Umno negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata keputusan Hishammuddin yang juga Naib Presiden Umno itu, dibuat selepas melakukan pertimbangan yang sewajarnya.

Baru-baru ini, Hishammuddin mengumumkan pelantikan Ketua Umno Bahagian Hulu Terengganu, Datuk Tengku Putera Tengku Awang sebagai Setiausaha menggantikan Ketua Umno Bahagian Dungun, Datuk Rosli Mat Hassan yang digugurkan.

Timbalan Ketua Umno Bahagian Kuala Nerus, Datuk Abdul Rahin Mohd Said pula dilantik sebagai Bendahari menggantikan Datuk Roslan Awang Chik dan Menteri Belia dan Sukan Datuk Ahmad Shabery Cheek dilantik sebagai Ketua Penerangan Umno negeri menggantikan Datuk Zuber Embong.

-- BERNAMA

Friday, June 26, 2009

Petronas catat hasil RM264.2b

Oleh Saidon Idris dan Kamarulzaidi Kamis
bhnews@bharian.com.my

Jumlah pembayaran kepada kerajaan naik 20.1 peratus bernilai RM74 bilion


KUALA LUMPUR: Petronas merekodkan pendapatan tertinggi dalam sejarah penubuhannya, sebanyak RM264.2 bilion dalam tahun kewangan berakhir 31 Mac 2009, meningkat 18.4 peratus daripada RM223.1 bilion pada tahun kewangan sebelumnya.


Bagaimanapun, penurunan harga minyak mentah global mulai Julai tahun lalu serta peningkatan kos yang ketara dalam industri menyebabkan keuntungan sebelum cukai syarikat minyak negara itu susut 6.7 peratus kepada RM89.1 bilion berbanding RM95.5 bilion tahun kewangan sebelumnya, penurunan pertama dalam tempoh tujuh tahun.


Namun, di sebalik keuntungan lebih rendah itu, jumlah pembayaran Petronas kepada kerajaan dalam tahun kewangan dikaji meningkat 20.1 peratus kepada RM74 bilion daripada RM61.6 bilion tahun kewangan sebelumnya.


Jumlah itu mewakili 71.4 peratus keuntungan sebelum cukainya dan 44.9 peratus daripada pendapatan keseluruhan Kerajaan Persekutuan pada 2008.


Ia adalah dalam bentuk pembayaran dividen kepada Kerajaan Persekutuan (RM30 bilion), cukai pendapatan petroleum (RM20.3 bilion), cukai korporat (RM9.1 bilion), duti eksport (RM2.2 bilion) dan royalti (RM6.2 bilion).


Selain itu, RM6.2 bilion lagi diberi dalam bentuk pembayaran royalti kepada kerajaan negeri Terengganu (RM3 bilion), Sarawak (RM2.3 bilion) dan Sabah (RM900 juta). Petronas mengekalkan RM21.9 bilion atau 21.1 peratus daripada keuntungan sebelum cukainya untuk pelaburan semula.


Presiden dan Ketua Eksekutifnya, Tan Sri Mohd Hassan Marican, berkata penyumbang utama peningkatan pendapatan Petronas ialah pendapatan operasi antarabangsanya meningkat 23.7 peratus kepada RM111.3 bilion, daripada RM90 bilion tahun kewangan lalu, sekali gus menunjukkan kedudukan kukuh syarikat minyak nasional itu dalam industri minyak dan gas global.


Ia diikuti operasi eksport yang menyumbang RM98.2 bilion, naik RM13.1 peratus daripada RM86.8 bilion serta operasi dalam negara sebanyak RM54.7 bilion, meningkat 18.1 peratus daripada RM46.3 bilion.


Dari segi peratusan, operasi antarabangsa menyumbang 42.1 peratus kepada jumlah pendapatannya, diikuti oleh eksport (37.2 peratus), manakala operasi dalam negara hanya 20.7 peratus.


Selepas ditolak cukai dan kepentingan minoriti, keuntungan bersih Petronas dalam tahun kewangan dikaji susut 13.9 peratus kepada RM52.5 bilion daripada RM61 bilion.


Dalam tahun kewangan dikaji, nilai aset Petronas terus mengukuh kepada RM388.1 bilion, meningkat 14.4 peratus daripada RM339.3 bilion pada tahun kewangan sebelumnya.


Mohd Hassan berkata, peningkatan kukuh pendapatan Petronas itu turut didorong oleh peningkatan jumlah jualan dan harga gas asli cecair (LNG) yang tinggi.


�Di sebalik suasana paling mencabar dan sukar bagi industri minyak global, kumpulan berupaya mencatat pencapaian memuaskan dengan peningkatan pendapatan ke paras tertinggi sejak ditubuhkan 35 tahun lalu.


�Meskipun begitu, kumpulan mencatat keuntungan sebelum cukai dan keuntungan bersih yang lebih rendah susulan kesan daripada persekitaran �harga rendah, kos tinggi� industri minyak global,� katanya pada sidang media mengumumkan keputusan kewangan itu semalam.


Beliau berkata, jualan produk petroleum ditapis terus menjadi penyumbang utama pendapatan Petronas dengan jualan bernilai RM91.7 bilion, meningkat 19.2 peratus daripada RM76.9 bilion tahun lalu.


�Pendapatan daripada jualan minyak mentah pula berjumlah RM64.4 bilion, meningkat daripada RM59 bilion pada tahun kewangan sebelumnya,� katanya.


Jumlah jualan minyak meningkat 12 peratus kepada daripada 200.9 juta tong pada tahun sebelumnya kepada 225 juta tong pada tahun kewangan yang dikaji.


Jumlah jualan gas asli cecair (LNG) yang menjadi penyumbang ketiga pendapatan Petronas pula kekal pada 25 juta tan berbanding 25.1 juta tan pada tahun kewangan 2008.

Wednesday, June 24, 2009

BN must stay on guard, say ex-reps

KUALA TERENGGANU: United we stand, divided we fall. That was the message delivered to state Umno and Barisan Nasional leaders by Terengganu Ex-Assemblymen Council (Mubarak) president Datuk Ahmad Sidi Ismail yesterday.

Speaking at the council's sixth general meeting in Kuala Ibai, near here, he said the two-thirds majority won by the Barisan Nasional in the 12th general election in Terengganu should not be taken for granted.

"The political scenario is forever changing, here and everywhere else in the country, and it would be a mistake to underestimate the strength of the opposition," said Ahmad.

He said Terengganu Mubarak might be small in number but it had never been short of influence among many of grassroots supporters throughout the state.

Council secretary Harun Hasan, meanwhile, said it would be easy to dismiss the political views of Mubarak members as irrelevant.
"But we were proven right in the previous general election when we predicted 24 wins and eight losses for BN in state assembly seats and seven wins and a loss in the battle for parliamentary seats.NST

Usah Pertikai Pelantikan Tiga Jawatan Utama Umno T'ganu: Ahmad

HULU TERENGGANU, 22 Jun (Bernama) -- Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Said berharap pihak-pihak tertentu tidak mempertikaikan pelantikan baru bagi tiga jawatan utama Badan Perhubungan Umno negeri, yang sebelum ini dilanda pelbagai konflik dalaman.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Umno Terengganu, berkata pelantikan baru itu dikemukakan sendiri Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang juga Pengerusi Badan Perhubungan negeri.

"Saya bersyukur kerana semuanya berjalan dengan selamat dan sempurna. Pelantikan ini diharap dapat memberi kepuasan kepada semua pihak.

"Kalau saya tidak pertikai dengan pelantikan ini dan menerimanya dengan lapang dada, kenapa orang lain perlu pertikai," katanya kepada pemberita selepas mengagihkan buku elektronik atau e-Book kepada sekolah di daerah Hulu Terengganu di Sekolah Kebangsaan Ajil, di sini Isnin.

Ahad lalu, Hishammuddin mengumumkan pelantikan Ketua Umno Bahagian Hulu Terengganu, Datuk Tengku Putera Tengku Awang sebagai Setiausaha Perhubungan Umno negeri yang baru, menggantikan Ketua Umno Bahagian Dungun, Datuk Rosli Mat Hassan yang digugurkan.

Menteri Belia dan Sukan yang juga Timbalan Ketua Umno Bahagian Kemaman Datuk Ahmad Shabery Cheek pula dilantik sebagai Ketua Penerangan Umno negeri, menggantikan Datuk Mohd Zuber Embong, manakala timbalan ketua Umno Bahagian Kuala Nerus, Datuk Abdul Rahin Mohd Said pula dilantik sebagai Bendahari Umno negeri menggantikan Datuk Roslan Awang Chik.

Ahmad berkata sebelum pelantikan baru itu dibuat, mereka terlebih dahulu telah berbincang termasuk mendapatkan pandangan daripada pelbagai pihak.

"Kita berjiwa besar dan ingin melihat Barisan Nasional (BN) meneruskan penguasaan di Terengganu dan menang pada pilihan raya umum ke-13 akan datang. Sebenarnya parti lebih penting, rakyat perlu diperjuangkan," katanya.

Pada majlis itu, Ahmad menyampaikan 439 e-Book kepada pelajar Tahun Lima 10 sekolah di daerah Hulu Terengganu. Setakat ini, sebanyak 2,300 daripada 23,000 e-Book telah diagihkan kepada murid Tahun Lima di seluruh Terengganu. - Bernama

Gagal PRU13 jika tiada langkah selesai krisis:

KUALA TERENGGANU – UMNO Terengganu tidak akan dapat mempertahan kerusi Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-13 sekiranya tiada tindakan positif untuk menyelesaikan masalah berkait parti itu.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menyifatkan negeri ini sebagai kubu kuat BN perlu dipertahankan dengan gerakan secara berpadu daripada ahli.

“Kalau lebih cepat, kita dapat selesaikan apa jua masalah sama ada benar atau persepsi, sama ada ianya fakta atau sengaja digembar-gemburkan. Ia tidak akan dapat membantu kita mempertahankan Terengganu sebagai kubu kita tanpa mengambil tindakan yang lebih positif.

“(Iaitu) tindakan yang boleh dirasai ahli dan rakyat, tindakan-tindakan yang digerakkan kita bersama sebagai keluarga besar UMNO Terengganu,” katanya, kelmarin.

Beliau berkata, UMNO perlu bangkit menghadapi realiti dengan membawa semangat baru bagi membangkitkan semula kekuatan dan kelebihan yang ada.

Sehubungan itu, UMNO Terengganu perlu bergerak sebagai satu pasukan di samping memperjuangkan dan membela perkara sewajarnya sebagaimana yang dihasratkan ahli.

Beliau sendiri akan turun padang untuk berjumpa ahi di peringkat akar umbi melalui program sedia ada di samping menyelaras kepimpinan sayap parti supaya rakyat dapat merasai semangat baru.

Mengulas lanjut, hala tuju dan program parti yang akan dipertanggungjawab telah pun dibincangkan bukan sahaja kepada sayap-sayap, malah peringkat bahagian untuk memastikan barisan dirapatkan.

“Pada masa yang sama ketua bahagian yang telah diberi mandat untuk memikirkan bagaimana tugas ini dapat diagihkan sesama kita bersama dengan kepimpinan lain di peringkat ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) atau Parlimen dan saya rasa usaha ini dapat dibuat dengan bersungguh-sungguh,” katanya. - Sinar

Ahli politik ibarat ‘tong sampah’: Menteri Besar

KUALA TERENGGANU – Menteri Besar, Datuk Ahmad Said berkata, ahli politik boleh diumpamakan sebagai ‘tong sampah’ kerana segala keburukan dan perasaan tidak puas hati rakyat akan terus dilemparkan kepada golongan berkenaan.

Menurut Ahmad, kegagalan seseorang individu melaksanakan tanggungjawabnya dengan baik akan menimbulkan kemarahan rakyat dan kesannya, rakyat melunaskan rasa dendam mereka apabila menjelangnya pilihan raya kecil atau umum.

Beliau berkata, walau apa juga perlakuan atau pendekatan yang diambil terhadap sesuatu perkara, hati dan perasaan rakyat harus dijaga dengan sebaik mungkin tanpa memikirkan diri sendiri kerana ia penting dalam mengekalkan sokongan.

“Walau apa juga tindakan kita, hati dan perasaan rakyat penting serta harus dijaga sebab mereka berada di kedudukan depan seiring dengan matlamat merakyatkan pembangunan.

“Orang politik ini macam tong sampah, kegagalan pegawai kerajaan akan menimbulkan kemarahan rakyat dan mereka akan balas dendam di peti undi, mereka tidak menyatakan kemarahan itu tapi tunjuk pada pilihan raya,” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu berkata demikian ketika berucap pada Perjumpaan Pegawai Agensi Pembangunan Masyarakat Terengganu bersama Menteri Besar di Wisma Darul Iman, semalam.

Ahmad menyifatkan segala kelemahan yang ditunjukkan oleh orang bawahan terutama dalam menguruskan hal-hal berkaitan masyarakat akan terpalit kepada kerajaan.

Sehubungan itu beliau meminta semua Pegawai Agensi Pembangunan Masyarakat negeri ini menunaikan amanah dan tanggungjawab masing-masing dengan sebaik mungkin agar mampu memberi khidmat sempurna kepada rakyat.

“Kita memang macam tong sampah, setiap yang tidak disukai rakyat akan dilemparkan kepada ahli politik dan oleh itu kita jangan bersikap sombong dan angkuh, harus sedar diri dalam berkhidmat kepada rakyat.

“Tidak ada gunanya kita laksanakan pelbagai projek pembangunan tapi rakyat tidak dapat sebarang faedah kerana akhirnya kita (Barisan Nasional (BN) akan ditolak,” katanya.Sinar