Showing posts with label pilihanraya kecil kuala terengganu. Show all posts
Showing posts with label pilihanraya kecil kuala terengganu. Show all posts

Friday, January 9, 2009

Najib: Pakatan Rakyat tak mampu menyamai BN

ARKIB : 09/01/2009

Najib: Pakatan Rakyat tak mampu menyamai BN

09/01/2009 2:58pm

KUALA TERENGGANU 9 Jan. — Datuk Seri Najib Tun Razak berkata hubungan parti-parti dalam Pakatan Rakyat (PR) tidak mampu menyamai apa yang ada pada Barisan Nasional (BN) dan semakin goyah dari hari ke hari.

Timbalan Perdana Menteri berkata, sehingga kini, parti-parti dalam pakatan itu — Pas, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) — masih belum mempunyai dasar bersama, malahan ikatan di antara mereka juga semakin goyah.

“Apa yang berlaku sekarang ni jelas menggambarkan mereka tak ada pendirian dan polisi bersama, cuma ada pakatan longgar yang bertujuan untuk bubarkan kerajaan BN, tetapi mereka tak boleh membentuk satu pakatan yang ada dasar bersama pun.

“Ini yang menyebabkan dari hari ke hari kita lihat semakin banyak perbezaan pendapat dalam Pakatan Rakyat, termasuk isu hudud yang hanya menjadi mainan politik PAS,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan serta pengumuman penawaran Program Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan Universiti Darul Iman (UDM) di sini hari ini. - Bernama

Thursday, January 8, 2009

Pas ada isu nak diketengah

ARKIB : 07/01/2009

Pas ada isu nak diketengah

KUALA TERENGGANU 6 Jan. - Pas menolak tanggapan sesetengah pihak yang mengatakan parti itu tidak mempunyai isu untuk diketengahkan pada pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, Pas mempunyai sekurang-kurangnya beberapa isu utama yang parti itu percaya tidak akan mampu dijawab oleh Barisan Nasional (BN).

Beliau memberitahu, isu pertama ialah berhubung pengembalian cukai pintu yang sebelum ini dihapuskan di bawah pentadbiran Pas dan kedua tentang pengendalian projek pembangunan yang tidak membawa manfaat kepada rakyat.

BN tekankan konsep mesra rakyat

ARKIB : 07/01/2009

BN tekankan konsep mesra rakyat

KUALA TERENGGANU 6 Jan. - Barisan Nasional (BN) akan menekankan konsep mesra rakyat sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu yang bermula hari ini hingga 17 Januari ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan konsep berkenaan bersesuaian dengan keutamaan parti tersebut yang menjadikan rakyat sebagai kumpulan sasar dalam setiap program pembangunan di negara ini.

''Jadi, rakyatlah yang kita akan utamakan dalam semua kegiatan serta projek yang kita laksanakan," katanya.

Beliau bercakap pada sidang akhbar selepas proses penamaan calon bagi pilihan raya berkenaan yang diadakan di Stadium Negeri, di sini.

Sebelum itu, Najib bersama-sama lebih 10,000 penyokong BN berarak mengiringi calon parti itu, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh ke pusat penamaan.

Dalam pilihan raya kecil yang akan diadakan berikutan kematian Allahyarham Datuk Razali Ismail pada 28 November lalu, Wan Ahmad Farid akan berhadapan dengan calon Pas yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Wakaf Mempelam, Mohd. Abdul Wahid Endut dan calon Bebas, Azharudin Mamat.

Najib berkata, walaupun ia akan dijadikan kayu ukur prestasi parti, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, beliau sendiri serta Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said tetapi bagi beliau, pilihan raya kecil itu sebenarnya untuk rakyat.

''Kita mesti tekankan bahawa mereka ini memilih orang yang bakal menjadi Ahli Parlimen yang terbaik untuk mereka. Inilah yang menjadi perhitungan utama kepada setiap pengundi di Kuala Terengganu," ujarnya.

Sehubungan itu tegas beliau, rakyat perlu mengundi berdasarkan perkara pokok iaitu calon mana yang mereka mahu menjadi wakil rakyat pilihan mereka dan tidak mengaitkannya dengan soal lain yang tidak relevan.

Menurut Najib, sekarang bukan masanya untuk rakyat mengalih sokongan kepada pembangkang kerana wakil rakyat BN telah terbukti kemampuannya untuk membela nasib mereka.

Pada sidang akhbar itu juga, Najib menolak dakwaan pembangkang bahawa peruntukan yang diumumkan oleh kerajaan kepada Terengganu baru-baru ini mempunyai kaitan dengan pilihan raya kecil yang bakal diadakan.

''Sebagai kerajaan yang memerintah, BN mempunyai tanggungjawab untuk menyelesaikan masalah yang dibangkitkan rakyat. Ada beberapa keperluan yang perlu dilakukan oleh kita sebagai kerajaan. Kita mengambil tanggungjawab atas keperluan rakyat dan tentu sekali bila ada pilihan raya kecil, perkara ini dikemukakan kepada kita untuk diselesaikan," katanya.

Najib berkata, BN akan memberi tumpuan kepada isu tempatan dalam kempennya selepas ini, di samping bersedia menjawab semua isu nasional yang dibangkitkan oleh pembangkang.

Mengenai peluang BN untuk menang, beliau berkata, penguasaan Pas di tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Kuala Terengganu bukan ukuran sebenar kekuatan parti itu kerana dalam pemilihan Ahli Parlimen, pengundi mempunyai pertimbangan lain dalam memilih calon yang mereka mahu.

''Selain itu sejak pilihan raya umum lepas sokongan terhadap UMNO tidak berubah, jadi berdasarkan keadaan itu dan jika dalam tempoh masa sembilan bulan ini tidak ada perubahan dari segi pemikiran rakyat, maka tahap sokongan kepada BN akan berkekalan dan mungkin bertambah," katanya.

Ditanya mengenai sokongan daripada pengundi bukan Melayu, Timbalan Perdana Menteri berkata, walaupun tumpuan akan lebih diberikan kepada pengundi Melayu yang meliputi 88 peratus namun BN juga akan bertemu dengan pengundi Cina dan India untuk menjelaskan polisi kerajaan yang mencakupi semua kaum.

Najib juga menjelaskan, semua pemimpin UMNO yang akan bertanding dalam pemilihan Mac ini diberi tugasan di kawasan tertentu, oleh itu mereka tidak datang ke Kuala Terengganu secara rambang sebaliknya melaksanakan tugas yang ditetapkan.

5,000 golongan OKU dibantu

SETIU 7 Jan. - Badan Amal Insan Istimewa Terengganu (BAIIT) mensasarkan kira-kira 5,000 orang dari golongan Orang Kurang Upaya (OKU) untuk diagihkan bantuan yang sesuai dengan keperluan mereka.

Antara bantuan yang akan disalurkan oleh badan itu kepada golongan tersebut termasuk barangan makanan, tongkat dan kerusi roda.

BAIIT yang ditubuhkan pada awal 2005 aktif melakukan kerja amal itu di bawah penaungnya, Tengku Seri Paduka Tengku Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Ismail Nasiruddin Shah yang merupakan ayahanda saudara Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Setiausaha BAIIT, Siti Zabedah Mat Ali (gambar) berkata, badan amal itu bertindak mambantu pihak kerajaan memastikan golongan istimewa itu tidak tercicir daripada mendapat pembelaan.

Menurutnya, menerusi BAIIT, golongan yang disasarkan akan mendapat bantuan yang sewajar dengan keperluan mereka.

''Kita sentiasa berkerjasama dengan pihak kerajaan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di setiap daerah untuk mendapatkan maklumat tentang golongan ini.

''Dalam hal ini kami juga sentiasa mendampingi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) bagi mendapatkan nama OKU supaya bantuan dapat disampaikan kepada mereka," katanya.

Menurutnya, bantuan yang diperolehi hasil sumbangan kerajaan negeri, anak syarikat kerajaan negeri, orang perseorangan dan syarikat swasta itu akan diberi dari semasa ke semasa melibatkan semua daerah di negeri ini.

Siti Zabedah berkata, sebelum ini pihaknya mengagihkan bantuan seperti itu kepada lebih 150 golongan terbabit di sekitar Kuala Terengganu.

''Setiu merupakan kawasan yang kedua dan selepas itu program yang sama akan menyusuri ke kawasan lain di negeri ini sehingga mencapai 5,000 OKU yang akan mendapat bantuan ini," ujarnya.

UMNO nafi kumpul kad pengenalan pengundi

ARKIB : 08/01/2009

UMNO nafi kumpul kad pengenalan pengundi

KUALA TERENGGANU 7 Jan. - UMNO Terengganu menafikan dakwaan pembangkang bahawa terdapat penyokong Barisan Nasional (BN) yang bertindak mengumpul kad pengenalan pengundi dengan menawarkan bayaran sebanyak RM500 setiap seorang.

Pengerusi Perhubungannya, Datuk Ahmad Said berkata, setakat ini beliau belum menerima maklumat berhubung perkara itu tetapi menyifatkan dakwaan pembangkang sebagai tidak masuk akal.

''Kalau bagi RM500 seorang, berapa banyak wang yang perlu dikeluarkan," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan cek tajaan akhbar Utusan Melayu Mingguan di pejabatnya, di sini hari ini.

Katanya, kenyataan itu adalah suatu tuduhan liar dan sepatutnya tidak dikeluarkan mereka yang bergelar pemimpin.

Wednesday, January 7, 2009

Pertubuhan belia Terengganu terima peruntukan RM1.1 juta

ARKIB : 07/01/2009

Pertubuhan belia Terengganu terima peruntukan RM1.1 juta

KUALA TERENGGANU 6 Jan. - Kementerian Belia dan Sukan memperuntukkan sebanyak RM1.1 juta untuk diagihkan kepada 300 cawangan pertubuhan belia di seluruh negeri ini bagi membolehkan mereka menggerakkan aktiviti masing-masing.

Menterinya, Datuk Ismail Sabri Yaakob berkata, peruntukan tersebut tidak termasuk yang diberikan kepada majlis belia negeri sebanyak RM25,000 dan majlis belia daerah RM20,000 serta pertubuhan belia negeri yang masing-masing menerima RM5,000.

Malah menurutnya, kementerian turut memperuntukkan RM40 juta bagi Tabung Ekonomi Belia yang sehingga kini baru digunakan sebanyak RM16 juta dalam usaha membantu golongan belia terlibat dalam kegiatan ekonomi.

''Kita turut mewujudkan program Bimbingan Usahawan Muda yang diberikan bantuan geran secara terus sebanyak RM3,000 berbanding RM2,000 kepada belia yang berminat memulakan perniagaan," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Temu Mesra anjuran Majlis Belia Negeri Terengganu (MBNT) di Wisma Seri Amar di sini malam tadi. Hadir sama Pengerusi MBNT, Mohd. Yusof Majid.

Ismail Sabri menggesa pemimpin belia di negeri ini supaya menggerakkan persatuan di peringkat akar umbi dengan menjalankan aktiviti yang menjadi minat golongan muda.

Katanya, golongan muda lebih berminat menyertai pertubuhan belia yang bersesuaian dengan jiwa dan kehendak mereka.

Menurutnya, dengan adanya program yang menjadi minat golongan tersebut secara tidak langsung gejala sosial dan keruntuhan moral yang sering dikaitkan dengan golongan belia dapat dihindari.

''Persepsi dan tanggapan yang tidak betul perlu diubah agar golongan belia tidak terus dilabelkan sebagai punca kepada masalah tersebut," ujarnya.

Namun, beliau akui sebahagian kecil golongan muda terutama yang tidak terlibat dalam pertubuhan belia mudah terjebak dengan gejala yang tidak sihat dan keruntuhan moral.

Sehubungan itu katanya, pemimpin belia harus berperanan menarik mereka yang tidak berpersatuan menyertai pertubuhan yang banyak diwujudkan sehingga di peringkat kampung.

Malah jelasnya, pihak kementerian telah memperkenalkan program satu komuniti satu pertubuhan belia agar penduduk setempat dapat dilibatkan dalam kegiatan yang diadakan di kawasan mereka.

Mengenai penyaluran bantuan katanya, kementerian telah menggunakan kaedah baru dengan menyalurkannya terus kepada persatuan yang berdaftar bagi membolehkan mereka menggerakkan aktiviti di kawasan masing-masing.

Tuesday, January 6, 2009

Polis tahan 5 lelaki tampal poster berbaur hasutan

ARKIB : 06/01/2009

Polis tahan 5 lelaki tampal poster berbaur hasutan

KUALA TERENGGANU 5 Jan. - Polis menahan lima lelaki dipercayai penyokong parti pembangkang kerana menampal poster pilihan raya berbaur hasutan di sekitar bandar raya ini awal pagi ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, kesemua lelaki berkenaan ditahan di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 untuk siasatan lanjut.

''Kita minta semua pihak supaya tidak melanggar peraturan sepanjang tempoh pilihan raya bagi mengelakkan tindakan diambil terhadap mereka," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Sementara itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar mengesahkan salah seorang lelaki yang ditahan itu ialah Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR) Terengganu, Fariz Musa.

Difahamkan, kesemua mereka ditahan ketika menampal poster pilihan raya termasuk gambar wanita Mongolia yang dibunuh, Altantuya Shaaribu di sekitar Jalan Cherung Lanjut di sini kira-kira pukul 4.45 pagi.

Kesemua mereka kemudiannya dibebaskan dengan jaminan polis.

Monday, January 5, 2009

Perlu rendah diri - Najib

KUALA TERENGGANU 5 Jan. - Pemimpin UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang berkempen dalam pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu perlu bersikap rendah diri, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Timbalan Perdana Menteri berkata, dengan pendekatan tersebut ia mampu menarik sokongan rakyat ketika berkempen bagi memastikan kemenangan calon BN pada pilihan raya kecil tersebut.

"Jangan berlagak... naik kereta mewah dan jangan berlebihan (ketika bertemu pengundi). Pegang kepada satu prinsip bahawa kita hamba kepada rakyat, itulah anak kunci kepada kejayaan BN.

"Saya minta pemimpin yang turun padang supaya mesra rakyat,'' katanya ketika melancarkan jentera pilihan raya kecil pergerakan sayap BN untuk pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu di Taman Tamadun Islam di sini malam ini.

Turut hadir Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said; Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat; Presiden Gerakan, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon; Naib Presiden MIC, Datuk S. Sothinathan, dan calon BN, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh.

Kata Najib, BN memperkenalkan konsep bertemakan mesra rakyat sebagai satu slogan untuk memikat hati rakyat dalam menghadapi kempen pilihan raya itu.

Beliau yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata, tema itu dipilih bagi memastikan segala apa yang dilakukan kerajaan adalah lebih bersifat mesra rakyat.

Katanya, konsep tersebut juga sejajar dengan hasrat kerajaan yang mahu mengutamakan segala kepentingan rakyat dalam segenap aspek.

"Saya berharap semua wakil rakyat dan yang bakal dipilih menjadi hamba kepada rakyat sebab rakyat adalah segala-segalanya," katanya.

Mengulas lanjut, Najib berharap, slogan mesra rakyat akan terus dikekalkan sejajar dengan hasrat kerajaan BN sekarang yang mengutamakan rakyat.

Katanya, wakil rakyat seharusnya sentiasa mendekati rakyat dan jangan sama sekali berlagak di depan mereka dalam segenap kehidupan.

"Jika naik kereta wakil rakyat mesti melambai tangan kepada rakyat yang berada di tepi jalan, sentiasa tersenyum dan memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat tanpa mengira waktu dan ketika," katanya.

Mengenai pilihan raya kali ini, Najib berkata, ia bakal menguji keupayaan BN dan parti komponen selepas Pilihan Raya Umum ke-12.

Menurutnya, selepas kalah di Permatang Pauh, BN berazam mencatatkan kemenangan sekali gus menandakan kebangkitan semula parti ke arah masa depan yang lebih cerah.

"Kuala Terengganu bukanlah Permatang Pauh dan kita tak akan benarkan sama sekali sejarah itu akan berulang lagi di sini," katanya.

Saturday, January 3, 2009

Kemenangan BN bakal bawa pembangunan lebih pesat

ARKIB : 03/01/2009

Kemenangan BN bakal bawa pembangunan lebih pesat

KUALA TERENGGANU 2 Jan. - Kemenangan yang diberikan oleh rakyat terhadap Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu nanti akan memberi lebih kekuatan kepada kerajaan untuk membawa pembangunan yang lebih pesat di Terengganu.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib berkata, kerajaan telah melaksanakan pelbagai projek pembangunan sejak 50 tahun lalu dan kesan berganda daripada usaha itu kini dinikmati oleh generasi sekarang dan akan datang.

Sehubungan itu, beliau menyangkal dakwaan pembangkang bahawa kerajaan hanya menghulurkan bantuan ketika musim pilihan raya seperti sekarang.

''Sebenarnya kerajaan tidak tunggu pilihan raya saja, kita sentiasa beri bantuan. Saya sendiri tiap-tiap minggu pergi ke kampung-kampung, masuk kawasan Orang Asli, ladang dan kawasan luar bandar.

''Kita sentiasa luluskan bantuan berbilion ringgit untuk faedah masyarakat luar bandar. Kebetulan sekarang masa pilihan raya, kita datang juga. Tak adil jika tempat lain kita pergi, tapi sini (Terengganu) tak datang. Apabila sudah datang kita sampaikanlah bantuan," ujarnya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan bantuan makanan seperti beras, susu dan keperluan lain di bawah Skim Kesejahteraan Rakyat kepada penghuni Rumah Pangsa Bukit Kecil di sini hari ini.

Muhammad meminta pengundi supaya memikirkan soal kepentingan memilih sesebuah kerajaan yang mampu membawa pembangunan ketika mengundi nanti kerana pilihan raya tidak hanya terbatas kepada calon semata-mata.

Menurutnya, negara lain termasuk Indonesia turut mengakui rakyat Malaysia bertuah kerana menikmati pembangunan sejak 50 tahun lalu sedangkan apa yang dilakukan oleh kerajaan hanya mula dilaksanakan oleh negara itu empat tahun lalu.

Dalam pada itu, Muhammad memberitahu, kerajaan memperuntukkan RM500 juta untuk pembinaan 17,000 unit rumah di bawah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di seluruh negara tahun ini.

Katanya, pihak kementerian sedang mengenalpasti penduduk miskin tegar yang layak menerima bantuan rumah berkenaan yang akan diberi secara percuma.

''Kita harap menjelang tahun 2010 masalah penduduk miskin tegar selesai. Kita akan bantu sehingga selesai masalah ini," ujarnya.