Wednesday, January 7, 2009

Pertubuhan belia Terengganu terima peruntukan RM1.1 juta

ARKIB : 07/01/2009

Pertubuhan belia Terengganu terima peruntukan RM1.1 juta

KUALA TERENGGANU 6 Jan. - Kementerian Belia dan Sukan memperuntukkan sebanyak RM1.1 juta untuk diagihkan kepada 300 cawangan pertubuhan belia di seluruh negeri ini bagi membolehkan mereka menggerakkan aktiviti masing-masing.

Menterinya, Datuk Ismail Sabri Yaakob berkata, peruntukan tersebut tidak termasuk yang diberikan kepada majlis belia negeri sebanyak RM25,000 dan majlis belia daerah RM20,000 serta pertubuhan belia negeri yang masing-masing menerima RM5,000.

Malah menurutnya, kementerian turut memperuntukkan RM40 juta bagi Tabung Ekonomi Belia yang sehingga kini baru digunakan sebanyak RM16 juta dalam usaha membantu golongan belia terlibat dalam kegiatan ekonomi.

''Kita turut mewujudkan program Bimbingan Usahawan Muda yang diberikan bantuan geran secara terus sebanyak RM3,000 berbanding RM2,000 kepada belia yang berminat memulakan perniagaan," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Temu Mesra anjuran Majlis Belia Negeri Terengganu (MBNT) di Wisma Seri Amar di sini malam tadi. Hadir sama Pengerusi MBNT, Mohd. Yusof Majid.

Ismail Sabri menggesa pemimpin belia di negeri ini supaya menggerakkan persatuan di peringkat akar umbi dengan menjalankan aktiviti yang menjadi minat golongan muda.

Katanya, golongan muda lebih berminat menyertai pertubuhan belia yang bersesuaian dengan jiwa dan kehendak mereka.

Menurutnya, dengan adanya program yang menjadi minat golongan tersebut secara tidak langsung gejala sosial dan keruntuhan moral yang sering dikaitkan dengan golongan belia dapat dihindari.

''Persepsi dan tanggapan yang tidak betul perlu diubah agar golongan belia tidak terus dilabelkan sebagai punca kepada masalah tersebut," ujarnya.

Namun, beliau akui sebahagian kecil golongan muda terutama yang tidak terlibat dalam pertubuhan belia mudah terjebak dengan gejala yang tidak sihat dan keruntuhan moral.

Sehubungan itu katanya, pemimpin belia harus berperanan menarik mereka yang tidak berpersatuan menyertai pertubuhan yang banyak diwujudkan sehingga di peringkat kampung.

Malah jelasnya, pihak kementerian telah memperkenalkan program satu komuniti satu pertubuhan belia agar penduduk setempat dapat dilibatkan dalam kegiatan yang diadakan di kawasan mereka.

Mengenai penyaluran bantuan katanya, kementerian telah menggunakan kaedah baru dengan menyalurkannya terus kepada persatuan yang berdaftar bagi membolehkan mereka menggerakkan aktiviti di kawasan masing-masing.

No comments:

Post a Comment