Thursday, January 8, 2009

5,000 golongan OKU dibantu

SETIU 7 Jan. - Badan Amal Insan Istimewa Terengganu (BAIIT) mensasarkan kira-kira 5,000 orang dari golongan Orang Kurang Upaya (OKU) untuk diagihkan bantuan yang sesuai dengan keperluan mereka.

Antara bantuan yang akan disalurkan oleh badan itu kepada golongan tersebut termasuk barangan makanan, tongkat dan kerusi roda.

BAIIT yang ditubuhkan pada awal 2005 aktif melakukan kerja amal itu di bawah penaungnya, Tengku Seri Paduka Tengku Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Ismail Nasiruddin Shah yang merupakan ayahanda saudara Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Setiausaha BAIIT, Siti Zabedah Mat Ali (gambar) berkata, badan amal itu bertindak mambantu pihak kerajaan memastikan golongan istimewa itu tidak tercicir daripada mendapat pembelaan.

Menurutnya, menerusi BAIIT, golongan yang disasarkan akan mendapat bantuan yang sewajar dengan keperluan mereka.

''Kita sentiasa berkerjasama dengan pihak kerajaan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di setiap daerah untuk mendapatkan maklumat tentang golongan ini.

''Dalam hal ini kami juga sentiasa mendampingi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) bagi mendapatkan nama OKU supaya bantuan dapat disampaikan kepada mereka," katanya.

Menurutnya, bantuan yang diperolehi hasil sumbangan kerajaan negeri, anak syarikat kerajaan negeri, orang perseorangan dan syarikat swasta itu akan diberi dari semasa ke semasa melibatkan semua daerah di negeri ini.

Siti Zabedah berkata, sebelum ini pihaknya mengagihkan bantuan seperti itu kepada lebih 150 golongan terbabit di sekitar Kuala Terengganu.

''Setiu merupakan kawasan yang kedua dan selepas itu program yang sama akan menyusuri ke kawasan lain di negeri ini sehingga mencapai 5,000 OKU yang akan mendapat bantuan ini," ujarnya.

No comments:

Post a Comment