CHUKAI - Jawatankuasa Pemuda UMNO Bahagian Kemaman akur dengan keputusan pucuk pimpinan yang meletakkan muka baru, Datuk Seri Hishammuddin Hussein selaku Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu yang baru.
Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kemaman, Mohd Hisyam Zubir berkata, barisan jawatankuasa Pemuda akan terus memberi sokongan moral kepada Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Ahmad Said walaupun jawatannya diturunkan.
“Kami akan berdiri teguh bersama beliau walau dalam apa juga keadaan dan jawatankuasa ingin merakamkan penghargaan kepada kedua-duanya atas pelantikan mereka sebagai Pengerusi dan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu yang baru,” katanya ketika sidang media, di sini.
Mohd Hisyam berkata demikian selepas selesai mempengerusikan mesyuarat khas bersama jawatankuasa Pemuda UMNO Kemaman di Pejabat Perhubungan UMNO Bandar Chukai.
Menurut Mohd Hisyam, harapannya dengan pelantikan muka baru itu, segala kemelut dan provokasi yang timbul membabitkan Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said dihentikan segera.
“Segala lompong harus ditutup, saya harap sebelum sesuatu keputusan dilakukan, pandangan semua pihak harus diambil kira oleh Hishamuddin,” katanya.
Sudah tiba masanya, pucuk pimpinan mengembalikan kegemilangan UMNO dan berjuang demi ketuanan Melayu di negara ini.
“Agenda rakyat harus diutamakan, kita mempunyai banyak tanggungjawab yang perlu dilaksanakan, kita harus meraih kembali sokongan dan kepercayaan masyarakat,” katanya.
Berhubung isu Sistem Pesanan Ringkas (SMS) berbaur ugutan bunuh kepada beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di negeri ini, Mohd Hisyam menyerahkan tanggungjawab itu kepada pihak polis untuk mencari dalang berkenaan
“Mereka yang bertanggungjawab hendaklah dihadapkan ke muka pengadilan dan dikenakan tindakan tegas, pihak polis harus menyiasat perkara ini hingga ke akar umbi, hukuman yang dijatuhkan perlu menjadi tauladan kepada masyarakat supaya tidak mengulanginya lagi,” katanya.
Menurutnya, jawatankuasa Pemuda UMNO Kemaman akan terus menunjukkan taat setia kepada Ahmad kerana Menteri Besar itu masih memegang jawatan Ketua UMNO Bahagian Kemaman.
Sinar 30/04/09
Thursday, April 30, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment