Thursday, January 8, 2009

Kerajaan Terengganu prihatin masyarakat Cina

SETIU 6 Jan. - Masyarakat Tionghua di negeri ini menyifatkan bantuan Tahun Baru Cina yang diterima setiap tahun sejak 2001 sebagai tanda keprihatinan kerajaan negeri terhadap mereka.

Para penerima terbabit berpendapat, bantuan itu juga membuktikan kerajaan negeri di bawah pimpinan Barisan Nasional (BN) tidak pernah meminggirkan masyarakat tersebut.

Mereka yang terdiri daripada golongan miskin, ibu tunggal, warga emas dan orang kurang upaya (OKU) masing-masing mendapat RM300 setiap seorang bagi membolehkan mereka membuat persiapan perayaan.

Seorang ibu tunggal, Lim Tee Chen, 54, berkata, masyarakat Cina seperti juga orang Melayu di Terengganu menyambut perayaan setiap tahun dan bantuan yang diterima itu meringankan beban mereka.

Dia yang tinggal di Kampung Benting Lentang dekat sini berkata, pemberian bantuan tersebut membuktikan kerajaan yang ada tidak pernah membezakan kaum serta agama.

''Saya gembira kerana setiap tahun mendapat bantuan ini sejak dari dulu lagi dan dengan wang ini saya membeli barang keperluan untuk menyambut tahun baru pada 26 Januari ini," katanya selepas menerima baucar bantuan itu di sini, semalam.

Pada majlis itu, seramai 58 orang masyarakat Tionghua menerima baucar yang disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permaisuri, Abdul Halim Jusoh.

Mereka adalah sebahagian daripada lebih 3,500 penerima lain dari seluruh Terengganu yang mendapat bantuan sempena Tahun Baru Cina.

Seorang lagi penerima, Chua Lee Kok, 24, dari Kampung Fikri berkata, bantuan yang diterima itu dapat mengurangkan beban perbelanjaan untuk menyambut tahun baru.

''Walaupun bantuan ini pertama kali saya dapat tetapi ia amat bermakna sekali kerana mulai tahun ini saya dapat menikmati kemudahan yang diagihkan dari kerajaan," katanya yang baru berkahwin pada pertengahan tahun lepas.

Seorang warga emas, Ooi Heng Kee, 70, pula memberitahu bantuan raya yang diterima setiap tahun sejak 2001 itu menandakan kerajaan tidak mengabaikan tanggungjawab terhadap warga emas dari masyarakat itu.

Malah, katanya, bantuan yang diberikan sama dengan yang diterima oleh kaum lain.

No comments:

Post a Comment