Peniaga Kompleks Paya Bunga mohon bantuan
KUALA TERENGGANU 31 Dis. - Pembeli lot kedai di Kompleks Paya Bunga di Jalan Tok Lam di sini memohon bantuan kerajaan negeri untuk menyelesaikan beberapa masalah berkaitan pembukaan kompleks itu untuk membolehkan mereka memulakan perniagaan secepat mungkin.
Ini kerana kompleks yang dibina sejak 1997 itu masih belum dapat dibuka kerana kekurangan kemudahan yang diperlukan selain menghadapi pelbagai masalah dengan pemaju.
Wakil pemilik lot kedai tersebut, Ho Mo Lim berkata, lebih 60 pemilik lot kedai berkenaan kini mengalami kerugian kerana masih belum dapat memulakan perniagaan di kompleks itu.
''Kami telah membayar kira-kira 70 hingga 80 peratus harga lot kedai yang bernilai antara RM300,000 hingga RM500,000. Kami kini terpaksa membayar faedah dan pinjaman yang dibuat dengan bank sedangkan perniagaan tidak dapat dijalankan lagi.
''Kami dimaklumkan bahawa kompleks ini sepatutnya siap sepenuhnya pada hujung 2008 apabila pembinaannya disambung pada 2005 selepas ia terhenti pada 2000," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis pertemuan pemilik-pemilik lot kedai dengan Setiausaha MCA Terengganu, Chin Wai Sun di Kompleks Paya Bunga di sini hari ini.
Mo Lim berkata, mereka tidak dapat memulakan perniagaan kerana kompleks berkenaan masih kekurangan kemudahan untuk pengunjung seperti tandas dan tempat duduk awam.
''Kami juga menghadapi pelbagai masalah dengan pemaju dari Kuala Lumpur seperti gantirugi kelewatan menyiapkan bangunan serta kedudukan status bangunan dan usaha untuk mengadakan pertemuan dengan mereka gagal.
''Kami sudah beberapa kali menghantar surat termasuk daripada peguam untuk mengadakan pertemuan tetapi tidak diendahkan," katanya.
Beliau memberitahu, para pemilik lot kedai juga enggan mengambil kunci kedai kerana mereka dikehendaki membayar baki pembelian kedai berkenaan sedangkan premis itu belum siap sepenuhnya.
''Kami enggan membayar baki pembelian tersebut kerana berasa pemaju tidak akan membayar pampasan berikutan gagal menyiapkan kompleks berkenaan mengikut jadual iaitu sebanyak lapan peratus setiap tahun," katanya.
Ho Lim menambah, para pemilik juga tidak akan membuka perniagaan di kompleks itu tanpa kehadiran penyewa utama.
''Selain itu, kompleks ini hanya mempunyai Sijil Layak Menduduki (CF) sementara sahaja," katanya.
Justeru, beliau meminta kerajaan negeri campur tangan untuk membantu menyelesaikan masalah tersebut.
''Kami juga telah mengemukakan aduan kepada Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh dan Menteri Besar, Datuk Ahmad Said berhubung masalah ini," katanya.
No comments:
Post a Comment