Tuesday, March 17, 2009

Kerja perladangan mampu beri pendapatan lumayan


KUALA TERENGGANU – Ramai belia Melayu di negeri ini tidak berminat mahu menceburi bidang perladangan kerana mereka beranggapan bahawa pendapatan yang diperoleh terlalu rendah dan tidak berpatutan.

:Pengerusi Ladang Rakyat dan Caretaker Ladang Rakyat Terengganu, Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid berkata, perkembangan itu menyebabkan majikan ladang terpaksa mengambil alternatif lain dengan membuka peluang kepada pekerja asing.

:Beliau berkata, sepatutnya peluang seperti itu harus direbut setiap masyarakat tempatan terutama golongan belia Melayu yang masih belum mempunyai pekerjaan tetap kerana bidang perladangan juga berpotensi tinggi menjana ekonomi negara.

:“Ramai tidak tahu bahawa pendapatan dalam bidang ini adalah antara yang lumayan dan kita juga seharusnya tidak menyempitkan pemikiran mengatakan kerja perladangan hanya tertumpu kepada kerja ladang semata-mata, padahal bidang ini juga terbabit dengan bahagian pentadbiran.

:“Saya sangat berharap remaja yang masih belum bekerja supaya dapat menceburi bidang ini kerana banyak kemudahan dan perkhidmatan turut disediakan kepada mereka yang terbabit,” katanya.

:Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai 3,000 jawatan kosong dalam sektor perladangan, namun tiada rakyat tempatan yang berminat memohon.

:Sementara itu, Pengarah Eksekutif Persatuan Pengeluar Pertanian Tanah Melayu (Mapa), Mohamad Audong berkata, pihaknya menyediakan peruntukan tertentu bagi menarik perhatian pekerja tempatan yang diberhentikan mengisi kekosongan berkenaan tetapi setakat ini tiada permohonan diterima.

:Menurut Mohamad, rakyat di negara ini perlu mengubah pemikiran mereka kerana bekerja di sektor perladangan juga mampu memberi pendapatan lumayan selain faedah perkhidmatan serta gaji yang ditawarkan adalah menarik iaitu kategori pekerja paling rendah menerima gaji bersih RM600 sebulan, sementara pekerja mahir dan separa mahir menerima antara RM2,000 hingga RM3,000 sebulan.

No comments:

Post a Comment