Monday, May 18, 2009

Kemenangan Hadi bukan tanda tolak profesional

Kemenangan Hadi bukan tanda tolak profesional

KUALA TERENGGANU – Kemenangan Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengekalkan jawatan Presiden Pas tidak bermakna golongan profesional bukan pilihan untuk menerajui pucuk pimpinan parti itu.

Pengerusi Lajnah Antarabangsa Pas Pusat, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi berkata, isu ulama atau profesional tidak perlu timbul sekalipun individu yang menjadi pemimpin adalah daripada kalangan profesional.

Menurutnya, pencalonan terbanyak yang diperoleh Abdul Hadi adalah disebabkan kepercayaan ahli-ahli yang mahukan beliau terus menerajui Pas di samping kewibawaannya dalam mengukuhkan parti.

“Keputusan diserahkan kepada perwakilan dan mana-mana golongan layak bertanding. Tidak disebutkan dalam perlembagaan parti bahawa golongan profesional tidak boleh menjadi pemimpin. Kedua-duanya memberi keseimbangan dalam parti.

“Sebelum ini pun, beberapa pemimpin dalam kalangan profesional pernah menjadi Presiden Pas antaranya, Dr Abas Ilias dan Datuk Asri Ahmad,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Abdul Hadi menang bertanding jawatan Presiden Pas selepas mendapat 136 daripada 137 pencalonan Pas kawasan yang menamatkan mesyuarat agungnya baru-baru ini.

Kemenangan Abdul Hadi juga menamatkan kontroversi berhubung golongan mana yang layak menerajui pimpinan parti sama ada ulama atau profesional.

Bagaimanapun, Dr Syed Azman menegaskan bahawa isu ulama atau profesional bukanlah keutamaan dalam Pas.

Sehubungan itu, beliau meminta rakyat tidak melihat perkara itu sebagai satu isu dan berpendapat sekalipun Pas dipimpin profesional, namun parti masih dikawal Majlis Syura Ulama.

Terdahulu, beliau menegaskan, sumbangan Abdul Hadi terhadap parti begitu meyakinkan ahli-ahli untuk terus berada di bawah kepimpinan beliau.

“Pelbagai perkara telah berlaku di bawah pemerintahan beliau iaitu dengan pertambahan kerusi pembangkang di Terengganu, juga di Parlimen dan mengambil langkah bergabung dengan Pakatan Rakyat (PR) sehingga pembangkang berjaya mentadbir lima negeri di Malaysia.

“Sokongan dan keyakinan rakyat terarah kepada beliau sebagai pemimpin yang berjaya menarik sokongan bukan Islam. Jadi, saya melihat Pas bukanlah pembangkang tetapi parti utama yang berpotensi besar di bawah kepimpinan beliau,” katanya.

No comments:

Post a Comment