Saturday, May 9, 2009

MB perjuang nasib rakyat miskin

MARANG- “Saya inginkan yang terbaik untuk Terengganu, sebab itu harapan kepada Hishammuddin sangat besar iaitu untuk membetulkan dan meningkatkan kemampuan kita menang pada Pilihan Raya Umum ke-13 nanti,”.

Demikian kata Menteri Besar, Datuk Ahmad Said ketika ditanya mengenai harapannya kepada Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri.

Sebelum itu, Ahmad yang enggan mengulas ketika ditanya pertemuan Hishammuddin dengan Yang Dipertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin hari ini (semalam) berkata, dia tidak mengetahui pertemuan itu.

“‘No komen’, sebab saya tidak tahu. Itu awak kena tanya dia (Hishammuddin) sebab saya tidak tahu mengenainya. Mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Negeri juga masih tidak tahu bila akan dibuat,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Balai Raya Kampung Seberang Marang, semalam.

Ahmad dan isteri yang dalam rangka lawatan kerja sehari ke Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang, sempat meluangkan masa untuk minum pagi bersama ketua jabatan dan pemimpin masyarakat serta rakyat di Marang Waterfront.

Ahmad kemudiannya berkesempatan melawat Pasar Baru Marang, menyertai gotong-royong memaku atap di Kampung Bukit Che Ali dan Kampung Paya serta menziarahi kubur datuk kepada Menteri Besar di Kampung Bukit Che Ali sebelum meneruskan lawatan ke beberapa lokasi lain.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad berkata, beliau akan meneruskan pembangunan yang dijalankan dan berusaha untuk menyediakan kemudahan serta keperluan rakyat sebagai tanda komitmen membantu rakyat negeri ini.

“Sekarang ini, kita ada 6,000 keluarga miskin tetapi tahap kemiskinan negeri ini menurun dengan banyak sekali iaitu daripada 89.9 peratus ketika merdeka kepada 12.5 peratus pada masa kini.

“Inilah yang akan kita perjuangkan, salah satu daripadanya adalah kerajaan kini berhasrat membeli 50,000 ekar (20,000 hektar) ladang kelapa sawit untuk dijadikan ladang rakyat berikutan ia pelaburan jangka panjang yang menguntungkan kerana harganya stabil.

“Agihan keuntungan daripada kelapa sawit inilah kita bercadang untuk agihkan kepada 6,000 keluarga miskin tadi dengan bantuan sebanyak RM500. Kita yakin, dalam tempoh enam tahun lagi, tidak akan ada lagi kemiskinan,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad berkata, walaupun Marang kini dipegang pembangkang namun usaha pembangunan akan terus dilaksanakan.

“Antara pembangunan yang giat dirancang adalah pembinaan empat fakulti baru Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di Bukit Kor dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10), bernilai RM800 juta.

“Lima buah balai raya baru yang bernilai RM1 juta juga akan diberikan kepada beberapa buah kampung di Dewan Undangan Negara (DUN) Rhu Rendang, selain bantuan peralatan komputer bernilai RM50,000,” katanya. Sinar 080509

No comments:

Post a Comment