BESUT 24 Mei - Persatuan Kebajikan dan Sukan Pemandu Teksi/Kereta Sewa Daerah Besut (PPKSB) melancarkan pakej perkhidmatan teksi dan kereta sewa dengan tambang lebih murah untuk perjalanan jauh bagi menarik orang ramai menggunakan pengangkutan awam itu.
Pengerusi PPKSB, Mansor Mat Ali berkata, menerusi pakej perkhidmatan itu pengguna akan memperoleh perkhidmatan lebih murah, bermutu dan menepati masa.
Katanya, sebanyak 120 teksi dan kereta sewa yang berdaftar dengan persatuan itu bersedia memberikan perkhidmatan bagi perjalanan pergi balik ke lima destinasi utama iaitu Kuala Terengganu dan Dungun di negeri ini serta Kota Bharu, Rantau Panjang dan Pengkalan Kubur di Kelantan.
Katanya, jika sebelum ini tambang perjalanan pergi balik ke Kuala Terengganu adalah RM120 tetapi menerusi pakej yang diperkenalkan, tambangnya berkurangan menjadi RM90.
''Perjalanan pergi balik ke Dungun yang dahulu RM260 kini RM180, Kota Bharu kini RM60 berbanding RM80, Rantau Panjang kini RM90 berbanding RM140 dan Pengkalan Kubur kini RM90 berbanding RM120," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis Pelancaran Pakej Perkhidmatan Teksi dan Kereta Sewa yang disempurnakan oleh Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Seri Idris Jusoh di sini malam tadi.
Selain itu menurut Mansor, PPKSB turut menyediakan perkhidmatan ke destinasi pelancongan tempatan iaitu ke Lata Tembakah, Kolam Air Panas Kampung La yang kedua-duanya di Hulu Besut.
Katanya, perkhidmatan juga disediakan ke Lata Belatan, Peladang Setiu Agro Resort, Bukit Keluang, Pantai Bisikan Bayu , Jeram Linang dan Jeram Pasu (Pasir Puteh) serta Sekayu dan Tasik Kenyir (Hulu Terengganu).
Jelasnya, tambang ke Lata Belatan dan Kolam Air Panas Kampung La dikenakan menerusi pakej ini ialah RM42 berbanding tambang lama (RM56), Lata Belatan dan Peladang Setiu Agro Resort kini RM45 berbanding RM60.
Perjalanan ke Bukit Keluang dan Pantai Bisikan Bayu pula kini RM42 berbanding RM56, Jeram Linang dan Jeram Pasu kini RM42 berbanding RM56 manakala Tasik Kenyir dan Sekayu kini RM150 berbanding harga lama RM200.
Mansor berkata, menerusi pakej perkhidmatan itu, pengguna mampu menyelesaikan tugas mereka di destinasi dalam masa yang singkat dan caj tambahan RM10 dikenakan bagi tempoh satu jam menunggu.
Selain itu, katanya, PPKSB juga ada menyediakan pakej perkhidmatan penghantaran cepat dengan bayaran RM45 untuk destinasi ke Kuala Terengganu, Dungun (RM90), Kota Bharu (RM30), Rantau Panjang (RM54) dan Pengkalan Kubur (RM45).
Sementara itu, Idris yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jerteh menyambut baik langkah PPKSB itu dan berharap pakej itu dapat menarik orang ramai menggunakan perkhidmatan teksi dan kereta sewa.
Katanya, sesuai dengan imej teksi dan kereta sewa yang kini sudah berubah, beliau berharap pemandu dan pemilik kenderaan dapat bersama-sama memberi khidmat terbaik selain menjaga kebersihan kenderaan mereka.
Ini menurutnya, akan dapat membantu mereka bukan sahaja menerima pendapatan tambahan malah pada masa yang sama memberi imej pemandu yang memberikan perkhidmatan berkualiti dan disukai ramai.
Monday, May 25, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment