Salah seorang jemaah, Tengku Kamal Tengku Awang, 45, berkata, masalah bermula pada hujung 2008 lagi di mana sejak projek pembinaan itu dijalankan, tanah runtuh sering berlaku terutama apabila musim hujan dan situasi ini boleh membahayakan jemaah.
“Apa yang paling membimbangkan, ketika musim hujan, tanah selut akan melimpah sehingga memasuki hampir separuh daripada kawasan surau.
“Akibatnya, banyak kemudahan surau rosak dan tidak boleh digunakan lagi, antaranya kolah tempat jemaah mengambil wuduk dan tandas,” katanya.
Menurutnya, surau itu sentiasa dipenuhi jemaah tidak mengira masa dan jika masalah ini tidak diatasi secepat mungkin, ia boleh mengancam nyawa mereka.
Pernah suatu ketika katanya, batu besar daripada bukit berkenaan terjatuh, namun mujur ketika itu tiada apa-apa kejadian buruk berlaku melibatkan jemaah.
“Kami juga bukan hanya berpeluk tubuh melihat keadaan sebegini. Sepanjang masalah ini bermula, jemaah di sini sudah tiga kali mengambil inisiatif sendiri membuang dan membersihkan selut yang memasuki kawasan surau.
“Tapi sampai bila kami harus berhadapan dengan masalah sebegini?,” katanya kepada Sinar Harian.
Sementara itu, ahli jawatankuasa (AJK) surau, Suhaimi Abdul Ghani, 52, berkata, beliau mewakili semua jemaah mengharapkan pihak berkenaan juga mengubah lokasi surau itu memandangkan ia sudah tidak sesuai lagi kerana bimbang, masalah tanah runtuh itu boleh mengancam nyawa penggunanya.
“Saya berharap pihak berkenaan mencari satu tempat sesuai untuk mengalihkan surau ini kerana di sini sudah tidak selamat lagi untuk jemaah.
“Diharapkan pihak berkenaan tidak memandang remeh masalah ini kerana ia melibatkan nyawa orang awam,” katanya.
No comments:
Post a Comment