Monday, June 8, 2009

Pelaksanaan perlu betul capai gagasan

Pelaksanaan perlu betul capai gagasan

KUALA TERENGGANU - Gagasan 1Malaysia akan menjadi kenyataan sekiranya cara dan pelaksanaannya dilakukan dengan betul serta bersesuaian dengan perkembangan semasa.

:Perunding Yayasan Kajian Strategik Melayu, Datuk Mohd Salleh Majid berkata, masyarakat di negara ini didedahkan dengan pelbagai gagasan namun ia hanya setakat slogan dan tidak dipraktikkan dalam kehidupan.

:“Slogan ‘Cemerlang, Gemilang dan Terbilang’ diuar-uarkan bukan calang-calang slogan tetapi gagasan itu tidak dapat mencapai matlamat selepas dunia luar yang berurusan dengan Malaysia mengatakan terdapat lima kelemahan di negara ini.

:“Kelemahan itu adalah ketidakcekapan khidmat awam, rasuah, jenayah dan kecurian, perubahan peraturan yang kerap berlaku serta kurang kemahiran pekerja,” katanya ketika membentangkan kertas kerja pada Seminar Gagasan Satu Malaysia: Kesinambungan Satu Perjuangan, semalam.

:Menurut Mohd Salleh, pertukaran Dasar Ekonomi Baru (DEB) kepada Dasar Pembangunan Negara adalah tujuan yang murni bagi menyusun semula masyarakat dan membasmi kemiskinan tetapi pelaksanaannya tercemar disebabkan mereka yang rakus, banyak ketirisan, melencong dan menguntungkan sesetengah golongan sahaja.

:“Jika saham sesetengah orang disebabkan hubungan mereka dengan orang tertentu mendapat ‘bertimbun saham’, ambil pinjaman, hari penyenaraian jual, terima untung ‘berkarung’, bagaimana hak milik Bumiputera mahu meningkat.

:“Selama 39 tahun hanya 18 peratus sahaja hak milik Bumiputera, bagaimana mahu meningkat. Permit AP juga begitu kerana hanya empat atau lima orang sahaja yang layak menerimanya, lain tidak layak,” katanya.

:Menurut Mohd Salleh, kontrak atau projek turut mengalami keadaan sama, misalnya diberikan secara rundingan tetapi akhirnya ada kontraktor yang melakukan pemasangan komputer di sekolah gagal, hospital berkulat, lebuh raya merekah, pembinaan bangunan ‘tersangkut’ lama.

:“Jika Gagasan 1Malaysia benar-benar untuk membangunkan negara, banyak cara dan pelaksanaan perlu diubah.

:“Matlamat slogan untuk perpaduan rakyat, justeru strategi yang digunakan tidak boleh berat sebelah. Dasar berkaitan dengan lesen, permit, biasiswa, perolehan pinjaman dan perkhidmatan awam perlu dilihat kembali,” katanya.

No comments:

Post a Comment