Tuesday, June 16, 2009

Wujud pasar rakyat setiap daerah

HULU TERENGGANU 15 Jun - Kerajaan negeri bersetuju untuk membangunkan sebuah pasar raya rakyat di setiap daerah di negeri ini dalam tempoh beberapa tahun akan datang, kata Menteri Besar, Datuk Ahmad Said hari ini.

Beliau berkata, buat permulaan sebuah pasar raya yang berharga RM4juta akan diwujudkan di Kuala Berang manakala daerah lain akan dilaksanakan secara berperingkat.

Katanya, pasar raya rakyat yang akan menjadi pusat penjualan pelbagai barangan termasuk produk tempatan dijangka menjadi tumpuan ramai kerana harga barangan berpatutan.

''Bagi projek di Kuala Berang, kerja-kerja merata tapak dan rekabentuk akan dilakukan dan jika tiada aral pembinaan akan dimulakan awal tahun depan.

''Kita jangkakan harga pasar raya antara RM3 juta hingga RM4 juta sebuah," katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Kali ke- 31 Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Bukit Diman, di PPK Bukit Diman, di sini, hari ini.

Hadir sama Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Datuk Tengku Putera Tengku Awang, Pengerusi Pertubuhan Peladang Bukit Diman, Mustafa Muda dan lebih 1,000 penduduk setempat.

Terdahulu dalam ucapannya Ahmad berkata, kerajaan negeri merancang untuk membangunkan 4,500 unit perumahan rakyat di seluruh negeri ini dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

Katanya, setiap unit berharga RM65,000 dan apabila siap dijangka menyediakan kediaman lebih selesa untuk kesejahteraan hidup rakyat. - Utusan

No comments:

Post a Comment